
Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 15 Jan (MalaysiaAktif) – Berbekalkan pengalaman, disiplin dan minat terhadap pertanian, seorang pesara guru, Marozan Ahmad, 61, membuktikan usia bukan penghalang untuk terus menyumbang kepada sektor pertanian negara.

Pelbagai jenis varieti pokok kelapa ditanam di kebunnya bagi menjamin kesinambungan bekalan kelapa di Felda Bukit Ramun
Sejak tahun 2017, Marozan mengusahakan 400 pokok kelapa di kebunnya di Felda Bukit Ramun melibatkan varieti bernilai tinggi seperti Sungai Gulang-Gulang (SGG), Matag, Pandan, Mawar, Gading dan Tacunan.
Menurutnya, tanaman kelapa dipilih kerana sifatnya yang lestari, permintaan pasaran yang stabil serta peranannya dalam menyokong keterjaminan makanan dan ekonomi komuniti luar bandar.

Setiap kelapa mempunyai ciri berbeza termasuk Kelapa pandan yang segar diminum kerana mempunyai tekstur rasa yang wangi
“Kebun ini bukan sekadar sumber pendapatan, tetapi satu pelaburan jangka panjang. Kelapa memberi hasil berterusan dan hampir semua bahagiannya boleh dimanfaatkan,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.
Usaha ini turut menyokong pendekatan pertanian mampan, yang menekankan penjagaan alam sekitar, penghasilan sumber makanan bersih serta nilai ekonomi hasil tani.
Penglibatan Marozan dalam bidang ini membuktikan sektor pertanian masih relevan dan berpotensi besar, sekali gus memberi inspirasi kepada pesara serta generasi muda untuk melihat pertanian sebagai satu bidang yang moden, berdaya maju dan realistik.
-AA-






