Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Siya: Tradisi Membawa Kepada Sumber Rezeki

By 15 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini (Perlis)

KANGAR, 15 Jan (MalaysiaAktif) – Perkhidmatan tiffin atau makanan dalam mangkuk tingkat yang berasal dari India dan digunakan oleh komuniti itu semasa era kolonial kini berkembang menjadi sebahagian daripada landskap budaya makanan di Malaysia.

Dahulu, mangkuk tingkat digunakan untuk bertukar juadah sesama jiran atau saudara-mara, namun hari ini ia bukan sekadar nostalgia malah menjadi sumber rezeki serta lambang gaya hidup moden yang praktikal dan mesra alam.

Di Perlis, perkhidmatan mangkuk tingkat yang lebih dikenali sebagai ‘siya’ mula mendapat sambutan menerusi perniagaan home-based food Layer Rasa by Dapoq Vintage, milik Nur Atirah Yaakob, 32.

Perkhidmatan mangkuk tingkat ini memberi kemudahan kepada mereka yang bekerja

Perniagaan tersebut dimulakannya pada tahun 2020 selepas menamatkan pengajian, sebelum memberi tumpuan serius dalam bidang food & beverage (F&B) pada tahun 2022 dengan membekalkan makanan kepada vendor dan jabatan kerajaan serta menyediakan perkhidmatan katering mini.

Pada hujung tahun lepas, Nur Atirah memperkenalkan perkhidmatan mangkuk tingkat ini sebagai satu solusi kepada individu yang sibuk dan memerlukan penyediaan makanan harian yang teratur.

“Idea mangkuk tingkat ini lahir daripada niat mencari pendapatan tambahan sambil memudahkan urusan makan harian pelanggan. Masakan disediakan dengan penuh tanggungjawab, seolah-olah kami masak untuk keluarga sendiri,” katanya.

Perniagaan yang beroperasi dengan kelulusan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis sebagai pengusaha home-based ini menawarkan lebih 60 jenis menu, termasuk hidangan kampung seperti masak lemak, gulai, pajeri dan kerabu.

Beliau berkata visi perniagaan mangkuk tingkat itu bertujuan memelihara tradisi sambil menjadikannya sumber rezeki jangka panjang.

-AA-

Tinggalkan komen anda