
Laporan/foto: Aiman Alimin/Un Suat Fern (Kelantan)
KOTA BHARU, 29 Jan (MalaysiaAktif) – Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti BAS.MY Kota Bharu dilancarkan hari ini di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV bagi meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam serta memudahkan pergerakan harian rakyat Kelantan, khususnya golongan bekerja, pelajar dan penduduk luar bandar.

Loke ketika menyampaikan ucapan
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata program ini dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menyediakan perkhidmatan bas yang cekap, selamat dan mampu milik.
“Kontrak pengendalian diberikan selama lima tahun dan selepas itu tender akan dibuka semula,” katanya, di sini hari ini sambil memaklumkan Konsortium E-Mutiara Berhad dilantik sebagai pengendali BAS.MY Kota Bharu.
BAS.MY melibatkan 16 laluan merangkumi 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan pengoperasian sebanyak 64 buah bas termasuk bas mini, bas mini low floor mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan bas EV midi.
Kesemua bas dilengkapi kemudahan keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV), paparan diod pemancar cahaya (LED) destinasi serta kemudahan pembayaran tanpa tunai melalui kad debit, kad kredit dan e-wallet.

Simbolik pendaftaran berkelompok Kad Konsesi bersama wakil komuniti berbilang kaum
Beliau turut memaklumkan pas bulanan perjalanan tanpa had 30 Hari BAS.MY ditawarkan pada harga RM30 untuk warganegara Malaysia, manakala Kad Konsesi BAS.MY membolehkan warga emas, OKU, pelajar sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi menikmati tambang percuma.
Inisiatif ini dijangka menggalakkan lebih ramai orang untuk menggunakan pengangkutan awam, sekali gus memudahkan akses mereka ke sekolah, tempat kerja dan pelbagai destinasi lain.
-AA-





