
Laporan/foto: Aini (Perlis)
ARAU, 24 Jan (MalaysiaAktif) – Program FLYsiswa terus menjadi antara inisiatif kerajaan yang membantu mengubati kerinduan serta meringankan beban kewangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) khususnya pelajar dari Sabah dan Sarawak yang menuntut di Semenanjung.
Melalui pemberian baucar digital penerbangan bernilai RM400 bagi tahun ini, inisiatif berkenaan memberi peluang kepada pelajar untuk pulang bertemu keluarga, sekali gus meningkatkan motivasi dan kesejahteraan emosi, terutama pada musim cuti semester dan perayaan.

Presiden Anak Sarawak Association dan Timbalannya ketika ditemui menyambut baik bantuan subsidi FLYSiswa ini dan berharap ianya diteruskan.
Menurut Presiden Kelab Empayar Mahasiswa/i dan Alumni Sabah (EMAS) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Nur Alya Athira Razli, bantuan tersebut membantu pelajar merancang perjalanan lebih awal serta mengurangkan beban kewangan keluarga.
“Harga tiket penerbangan memang tidak menentu. Dengan adanya FLYsiswa, sekurang-kurangnya beban kewangan ibu bapa saya berkurang dan saya boleh rancang perjalanan lebih awal,” katanya.
Exco Multimedia Kelab EMAS UniMAP Ahmad Haziq Nawawi berkata FLYsiswa merupakan keperluan penting bagi pelajar yang menuntut jauh dari negeri asal.
“Bagi pelajar yang belajar jauh dari keluarga, kos perjalanan adalah antara perbelanjaan terbesar. FLYsiswa sangat membantu dan sangat bermakna untuk kami dapat bertemu keluarga,” katanya.
Timbalan Pengerusi Anak Sarawak Association UniMAP (ASAU) Gideon Abai Wajir Kapat berkata bantuan tersebut memberi kelegaan besar kepada pelajar Sarawak yang berdepan kos penerbangan tinggi.
“Bantuan ini membantu kami merancang kewangan dengan lebih sistematik, terutamanya bagi pelajar tahun akhir,” katanya.
FLYsiswa kini dilaksanakan sebagai inisiatif tahunan yang melibatkan universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan institut latihan sebagai sebahagian komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan pelajar.
-RI





