Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Enam lndividu Disyaki Proses Air Ketum Ditahan

By 27 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/IPD Gombak

GOMBAK, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Tindakan satu sindiket yang dipecayai menjadikan sebuah premis kediaman di Rawang, di sini sebagai pusat memproses dan membungkus air ketum terbongkar selepas diserbu pihak polis pada 22 Jan lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 petang itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berjaya menahan enam individu termasuk warga asing.

Air ketum yang telah siap diproses.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata suspek yang ditahan berusia antara 21 hingga 38 tahun melibatkan seorang lelaki tempatan dan lima warga asing terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita.

“Hasil pemeriksaan di lokasi, polis menemui 2,026 botol air ketum dengan isi padu keseluruhan 1,215,600 mililiter serta 20 kilogram daun ketum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata pihaknya turut merampas pelbagai peralatan memproses air ketum serta sebuah kenderaan jenis Toyota Hiace yang berada di hadapan premis terbabit.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM21,060 dan bekalan ini dipercayai diproses untuk pasaran di sekitar Lembah Klang,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu hasil ujian saringan awal air kencing ke atas kesemua suspek mendapati mereka negatif dadah, selain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 23 hingga 29 Januari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda