Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Pembukaan Kafe Jenama Antarabangsa Perkukuh Daya Tarikan Pelancongan Langkawi

By 27 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)/Zamri Ibrahim (LADA)

LANGKAWI, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Pembukaan kafe berjenama antarabangsa membuktikan komitmen Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) melalui anak syarikatnya, Panorama Langkawi Sdn. Bhd. dalam mempelbagaikan tawaran pelancongan selari dengan kehendak pasaran global, kata Ketua Pegawai Eksekutif LADA Datuk Seri Iskandar Datuk Mohd Kaus.

“Pembukaan Gloria Jean’s Coffees di Oriental Village, Langkawi yang mula beroperasi secara rasmi pada 1 Jan lepas membuktikan komitmen syarikat dalam mempelbagaikan produk pelancongan, khususnya dalam sektor makanan dan minuman, selari dengan kehendak pasaran antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA sedang diberi keterangan tentang cara menyediakan kopi.

“Usaha ini menyokong strategi LADA untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi yang lebih berdaya saing, lengkap dengan kemudahan, tarikan dan perkhidmatan berkualiti,” katanya ketika merasmikan pembukaan cawangan tersebut, di sini semalam.

Menurutnya, Panorama Langkawi Sdn. Bhd. turut menyasarkan untuk membangunkan Oriental Village sebagai sebuah hab makanan yang menawarkan pelbagai pilihan hidangan tempatan dan antarabangsa.

“Saya berharap Gloria Jean’s Coffees di Oriental Village ini akan terus berkembang maju, mendapat sambutan yang menggalakkan serta menjadi antara pilihan utama pengunjung tempatan dan antarabangsa. Semoga kerjasama strategik seperti ini dapat diteruskan dan diperkukuhkan demi manfaat bersama,” katanya lagi.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Malaysia Internasional Franshise Sdn. Bhd. (MyFranchise), Tham Yue Foon berkata kehadiran jenama tersebut di Oriental Village sejajar dengan strategi pengembangan rangkaian di lokasi tumpuan pelancong.

“Kehadiran Gloria Jean’s Coffees di Oriental Village sejajar dengan strategi jenama untuk mengembangkan rangkaiannya di lokasi pelancongan yang ramai pelancong, di samping menawarkan pengalaman kopi berkualiti premium kepada pelanggan tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Tetamu jemputan yang hadir menjayakan majlis perasmian Gloria Jean’s Coffees di Oriental Village Langkawi semalam.

Katanya, pembukaan cawangan ke-49 itu bukan sahaja mengukuhkan kehadiran Gloria Jean’s Coffees di Malaysia, malah dijangka menggalakkan penyertaan lebih ramai usahawan tempatan dalam industri francais.

Pembukaan premis makanan dan minuman bertaraf antarabangsa ini dijangka merancakkan lagi aktiviti pelancongan, meningkatkan pengalaman pengunjung serta memperkukuh kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia yang berdaya saing dan mampan.

-RI

Tinggalkan komen anda