Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Isu Penternakan Babi: Selangor Perketat Syarat Operasi

By 11 Januari 2026Januari 12th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Facebook Amirudin Shari

SHAH ALAM, 11 Jan (MalaysiaAktif) – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor memutuskan bahawa syarat operasi industri penternakan babi diperketatkan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu sebagai komitmen pihaknya yang menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu penternakan babi di Kuala Langat.

“Penekanan utama adalah terhadap pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab supaya tidak menjejaskan sistem saliran, alam sekitar serta kesejahteraan penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira semua aspek termasuk pandangan agensi teknikal bagi memuktamadkan isu yang telah berlarutan sejak lebih sedekad lalu.

“Langkah ini bukan bertujuan menutup industri, sebaliknya memastikan ia beroperasi secara lebih selamat, terkawal dan tidak menimbulkan kesan sampingan kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Ir. Izham Hashim berkata pendekatan berkenaan adalah inisiatif lebih tersusun dan berhemah.

“Ia dilaksanakan secara menyeluruh bagi mengimbangi keperluan komuniti serta memastikan kawalan lebih ketat ke arah penyelesaian jangka sederhana dan panjang,” katanya.

Terdahulu, Baginda menzahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan Kerajaan Negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Menurut kenyataan Istana Alam Shah, baginda memandang serius keputusan tersebut khususnya kerana ia berpotensi melibatkan pembangunan penternakan babi secara berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara di atas tanah seluas kira-kira 202 hektar.

-RI

Tinggalkan komen anda