
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 11 Jan (MalaysiaAktif) – Bagi membantu para pelajar membuat persediaan sesi persekolahan tahun 2026 yang bakal bermula, Kedai Gunting Rambut Orang (GRO Barbershop), di sini mengadakan perkhidmatan gunting rambut pada harga RM5 bagi setiap pelajar.

Dr. Mohammad Syahrin (kanan) kelihatan gembira apabila dapat meringankan beban perbelanjaan golongan kurang berkemampuan.
Pemilik kedai Dr. Mohammad Syahrin Smail, 35, berkata antara objektif program ini adalah untuk membantu komuniti seperti golongan kurang berkemampuan seperti asnaf, anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU) serta keluarga yang mempunyai anak ramai.
Katanya, harga semasa gunting rambut bagi pelajar terutamanya kanak-kanak adalah dalam lingkungan RM10 hingga RM14, namun dengan harga serendah RM5 ini diharapkan dapat meringankan beban perbelanjaan seisi keluarga.

Uwais Fiqh Mohamad Tarmizi, 8, sedang menerima perkhidmatan gunting rambut di kedai GRO Babbershop.
“Program Gunting Rambut RM5 ini bermula dari 9 hingga 11 Jan lepas bertempat di cawangan Gunting Rambut Orang (GRO Barbershop) berdekatan Masjid Tuanku Syed Putra, Kangar, bermula pukul 10.30 pagi hingga 9 malam.
“Seramai empat orang pekerja berpengalaman terlibat dalam proses perkhidmatan gunting rambut ini,” katanya, di sini semalam.
Menurut Dr. Mohammad Syahrin, program tersebut diadakan setiap tahun dan pihaknya pernah menjalinkan kerjasama dengan institusi masjid serta badan kerajaan seperti Universiti Malaysia Perlis dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis.
-RI





