
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Facebook Majlis Agama Islam Johor (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 30 Jan (MalaysiaAktif) – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengambil tindakan terhadap cubaan mempromosikan semula ajaran sesat Ahmadi Religion di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata tindakan sewajarnya sudah diambil oleh pihaknya termasuk menurunkan bahan-bahan promosi yang dikenal pasti membabitkan ajaran berkenaan.

Tular di media sosial memaparkan gambar kain rentang mempromosikan ajaran sesat yang dikesan dipasang di lokasi tumpuan ramai di Muar pada Jumaat lalu
“Ajaran Ahmadi Religion sudah difatwakan sebagai sesat dan penyebaran fahaman tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan rasmi di Johor sekian lama.
“JAINJ sentiasa menjalankan pemantauan berterusan terhadap sebarang aktiviti, penerbitan atau bahan promosi yang berkaitan dengan ajaran sesat bagi memastikan ia tidak disebarkan kepada masyarakat,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, semalam.
Sementara itu, Mohd Fared turut menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam usaha memelihara kesucian akidah umat Islam serta memastikan ajaran yang bercanggah dengan Islam tidak disebarkan di negeri ini.
“Kerjasama antara masyarakat sangat penting bagi memastikan keharmonian agama dan ketenteraman awam di negeri ini agar terus terpelihara dan dijauhi daripada ajaran yang tidak diiktiraf oleh JAINJ,” katanya.
Orang ramai digesa supaya terus menyalurkan maklumat dan membuat laporan kepada Pejabat Kadi Daerah yang berhampiran atau melalui saluran rasmi pihak berkuasa agama sekiranya mengesan sebarang aktiviti, pengajaran atau bahan berkaitan ajaran sesat di Johor, katanya.
-AA-





