
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)/Facebook Majlis Bandaraya Johor Bahru
JOHOR BAHRU, 30 Jan (MalaysiaAktif) – Penganjur bazar Ramadan di tapak milik dan seliaan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan dipantau bagi memastikan pematuhan kepada kadar sewa maksimum RM500 sahaja dikenakan kepada peniaga.
Datuk Bandar MBJB Dato’ Mohd Haffiz Ahmad berkata tindakan akan dikenakan kepada pihak yang tidak mematuhi syarat dan garis panduan yang ditetapkan pihaknya.

Datuk Bandar MBJB, berkata tindakan yang dipertimbangkan termasuk menyenarai hitam penganjur atau peniaga selain pengambilalihan penganjuran Bazar Ramadan pada tahun hadapan.
“Harap jangan sampai pihak kita akan uruskan sendiri dan cara lantikan peniaga bazar adalah secara berintegriti serta mematuhi penguatkuasaan yang ditentukan.
“Setakat ini, MBJB telah meluluskan penganjuran 23 lokasi Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri anjuran pihak swasta membabitkan sebanyak 1,160 petak jualan disediakan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, di sini semalam.
Menurutnya, MBJB juga telah meluluskan 15 lokasi Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri anjuran Yayasan Bandaraya Johor Bahru (YBJB) dengan kerjasama pihak swasta membabitkan sejumlah 815 petak jualan.
“Kelulusan yang diberikan ini bagi membolehkan warga bandar raya, khususnya yang beragama Islam untuk membuat persiapan menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri di samping memberi ruang dan peluang kepada peniaga kecil dan usahawan mikro bagi menjana lebih pendapatan di musim perayaan,” katanya.
Bazar Ramadan di bawah seliaan MBJB akan memulakan operasinya pada 1 Ramadan yang dijangka pada 19 Feb depan di beberapa lokasi yang telah diluluskan untuk berniaga.
-RI





