Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Video Tular Pelajar Sekolah Dipukul Di Larkin Dalam Siasatan Polis

By 30 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 30 Jan (MalaysiaAktif) – Polis membuka dua kertas siasatan berhubung satu rakaman video tular memaparkan seorang pelajar lelaki dipukul dua individu di hadapan sebuah sekolah di Larkin, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata kejadian pada jam 2.30 petang itu melibatkan mangsa yang berusia 17 tahun didakwa dipukul oleh seorang pelajar lelaki sebaya bersama abang kandung suspek yang berusia 20 tahun.

Beliau berkata siasatan awal mendapati insiden berkenaan dipercayai berpunca daripada dakwaan gangguan kelucahan melampau oleh mangsa terhadap seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun yang juga pelajar sekolah berkenaan, sehari sebelum kejadian tersebut berlaku.

“Pihak polis menerima laporan daripada mangsa pukul pada jam 7.13 malam tadi, manakala pelajar perempuan berkenaan turut membuat laporan polis pada jam 5.43 petang hari yang sama bagi mendakwa gangguan yang dialaminya.

“Kes pukul disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, manakala dakwaan gangguan seksual pula disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Raub, pihaknya akan memohon Perintah Untuk Menyiasat (OTI) bagi kedua-dua kes tersebut untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, tular satu video yang dimuat naik di media sosial memaparkan kejadian terbabit.

Pada masa sama, Raub menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kes tersebut kepada pihak berkuasa.

-AA-

Tinggalkan komen anda