Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kenaikan Gaji Penjawat Awam: Impak Nyata Terhadap Kualiti Hidup

By 29 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salehuddin Klewan/Mohamad Syafiq Mohamad Saleh (Hulu Langat)

KAJANG, 29 Feb (MalaysiaAktif) – Seminggu selepas pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam fasa 2 yang berkuat kuasa mulai 22 Jan lepas, rata-rata penjawat awam masih menyuarakan reaksi positif terhadap langkah kerajaan tersebut.

Walaupun nilai kenaikan gaji dilihat sederhana, ia memberi impak kewangan yang signifikan khususnya kepada penjawat awam yang menanggung komitmen keluarga dan perbelanjaan harian.

Bagi Pegawai Lapangan Pejabat Penerangan Daerah Hulu Langat Mohd Yuszairee Mohd Yunus, 55, kenaikan sebanyak RM350 sebulan membantunya mengurangkan tekanan kewangan, khususnya melibatkan kos persekolahan anak-anak.

Muhammad Rashdan Mohd Zakaria melahirkan kesyukuran dengan kenaikan gaji yang diterimanya memberi kelegaan dalam merancang kos perbelanjaan bulanan

“Sebelum ini, saya perlu berjimat cermat sehingga ke sen terakhir untuk perbelanjaan keluarga. Kini, terdapat sedikit lebihan untuk membeli barangan keperluan,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Muhammad Rashdan Mohd Zakaria, 46, berkata kenaikan gaji sebanyak RM210 sebulan membolehkannya memulakan simpanan secara berperingkat sebagai persediaan menghadapi perbelanjaan tidak dijangka.

“Walaupun pertambahan ini tidak besar, ia memberikan kelegaan dalam menyerap kos perbelanjaan bulanan,” katanya.

Dari sudut ekonomi, kenaikan gaji penjawat awam dijangka memberi kesan positif kepada perbelanjaan domestik apabila peningkatan pendapatan isi rumah mampu merangsang permintaan tempatan dan menyokong aktiviti perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bagi guru Rozilah Aziz, 51, sebahagian besar kenaikan gaji sebanyak RM700 sebulan yang diterimanya digunakan untuk membayar pinjaman perumahan kedua.

“Kenaikan ini amat tepat pada masanya dan sangat membantu dalam pengurusan kewangan keluarga,” katanya.

Secara keseluruhan, meskipun kenaikan gaji tidak menyelesaikan sepenuhnya isu kos sara hidup, pelarasan gaji tersebut dilihat memberi kelegaan dan meningkatkan kualiti hidup penjawat awam dalam merancang kewangan dengan lebih teratur.

-AA-

Tinggalkan komen anda