
Laporan/foto: S. Shanmuganathan (Seberang Perai Tengah)
BUKIT MINYAK, 29 Jan (MalaysiaAktif) – Pelatih istimewa Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bukit Minyak diraikan dalam penuh kemeriahan pada Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) peringkat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di PPDK Bukit Minyak, di sini hari ini,

Salah seorang pelatih menunjukkan kreativiti luar biasa melalui lukisan dan mewarna.
Pegawai Daerah SPT Dato’ Kamarul Haizal Koderat berkata kerjasama erat antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat amat penting bagi memastikan pelatih OKU mendapat kemudahan serta peluang yang setara.
Beliau turut menekankan bahawa masyarakat seharusnya menilai keupayaan pelatih, bukannya kekurangan mereka.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah Gooi Hsiao-Leung berkata program ini menjadi peringatan bahawa tiada sesiapa harus diketepikan dalam masyarakat.
“Setiap pelatih wajar dilayan dengan penuh hormat, diberi peluang saksama dan disokong untuk berkembang maju dalam masyarakat sambil dibimbing untuk mencapai potensi maksimum,” katanya.

Gooi Hsiao Leung (dua dari kanan) hadir sama bagi meraikan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) peringkat Daerah Seberang Perai Tengah.
Sambutan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif dan kreatif seperti pertandingan congkak, dam ular, mewarna serta persembahan khas daripada pelatih OKU yang menonjolkan semangat ceria dan bakat mereka.
Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi PPDK Bukit Minyak Jimmy Choo Chin Nam, serta wakil-wakil pemimpin masyarakat, menekankan sokongan berterusan terhadap pembangunan pelatih istimewa di daerah ini.
-RI





