
Laporan/foto: Herlina Ainizawati Zakaria (Shah Alam)
KLANG, 8 Jan (MalaysiaAktif) – Sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti kitar semula plastik terpakai didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen 4 Klang, di sini semalam selepas didapati bersalah menempatkan buangan terjadual tanpa kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Alam Sekeliling.

Percontohan sampel yang dijalankan oleh penguat kuasa JAS Negeri Selangor.
Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar menjatuhkan hukuman tersebut berdasarkan pertimbangan ke atas kepentingan awam selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan serta rayuan peguam.
Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dalam hujahannya memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada syarikat serta pemain industri lain agar tidak sewenang-wenangnya menempatkan buangan terjadual tanpa kelulusan pihak berkuasa.
Pengarah JAS Selangor Dato’ Wandi Yadzid Yaakob berkata ketidakpatuhan boleh menyebabkan pihak premis untuk disabitkan dan dibawa ke mahkamah.
“JAS Selangor sentiasa serius dan komited dalam menjalankan pemantauan bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini hari ini.
Beliau turut menasihatkan syarikat-syarikat agar menjalankan operasi secara bertanggungjawab dan tidak merendahkan aspek kelestarian alam sekitar demi keuntungan semata-mata.
Terdahulu, pengarah syarikat berkenaan yang mewakili syarikat selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di mahkamah.

Penemuan buangan elektronik yang dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW110 di kawasan penerimaan bahan mentah premis kitar semula plastik terpakai.
Berdasarkan fakta kes, satu pemeriksaan penguatkuasaan telah dijalankan oleh pasukan penguatkuasa JAS Selangor ke atas premis kitar semula plastik di Jalan Sungai Jati, Daerah Klang pada 29 Jun 2020.
Hasil pemeriksaan menemui lambakan sekerap plastik dengan serpihan papan litar elektronik yang dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW110 di kawasan penerimaan bahan mentah di dalam premis.
Semakan lanjut mendapati syarikat berkenaan tidak mempunyai sebarang kelulusan daripada JAS untuk menempatkan buangan terjadual di premis berkenaan.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM500,000.
-RI





