Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Kuala Lumpur Munajat: Cahaya Kerohanian di Jantung Kota Metropolitan

By 17 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Hafizee/Muhaimin Musa (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 17 Jan (MalaysiaAktif) – Program Kuala Lumpur Munajat, di sini kelmarin menjadi sebuah program yang menyatukan jiwa warga kota dalam suasana penuh ketenangan dan ketaqwaan.

Program anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud, rakan strategik serta pelbagai agensi dan warga sekitar Kuala Lumpur khusus bagi memohon keberkatan dan keselamatan buat Malaysia daripada segala musibah.

Kuala Lumpur Munajat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kuala Lumpur Munajat adalah manifestasi keinginan kita untuk melihat ibu kota ini seimbang dari segi material dan spiritual. Di tengah-tengah kesibukan kota metropolitan, kita perlu berhenti sejenak untuk mencari ketenangan dalaman dan memperkukuh ukhuwah.

“Kita mahu membina sebuah wilayah yang bukan sahaja maju secara fizikal, tetapi juga berkat dan harmoni buat semua warga,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Antara pengisian utama program termasuk zikir munajat, solat hajat, bacaan Yasin serta sesi pengisian rohani yang bertujuan memperkukuh jati diri, integriti dan nilai kerohanian dalam kalangan warga kota.

Program bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari nanti turut menampilkan Imam Masjid Negara Ustaz Mohamad Nadzri Mustakim menerusi bicara khas bertajuk ‘Membangun Wilayah, Membina Akar’ yang menyentuh kepentingan nilai spiritual dan integriti dalam membina sebuah wilayah yang berdaya tahan dan sejahtera.

Bicara Khas oleh Imam Masjid Negara Ustaz Mohamad Nadzri Mustakim.

Dalam mendepani cabaran hidup di kota besar yang penuh tekanan, Kuala Lumpur Munajat berfungsi sebagai ruang kepada individu untuk mencari ketenangan dalaman dan memperkukuh ukhuwah (persaudaraan) tanpa mengira latar belakang status sosial.

Kehadiran anak-anak muda yang memenuhi saf hadapan menunjukkan bahawa kerohanian masih menjadi teras penting dalam kehidupan generasi masa kini, biarpun di tengah-tengah arus pemodenan.

-RI

Tinggalkan komen anda