Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Tuanku Muhriz : Masjid Perlu Diimarahkan dengan Aktiviti Keilmuan dan Kemasyarakatan

By 17 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shahril Alias (Negeri Sembilan)/Unit Media Majlis Agama Islam Negeri Sembilan

JEMPOL, 17 Jan (MalaysiAktif) – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah bahawa masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah, malah perlu diimarahkan dengan aktiviti keilmuan dan kemasyarakatan demi memperkukuhkan perpaduan ummah.

“Masjid hendaklah menjadi pusat penyatuan masyarakat serta medan penyebaran ilmu agar peranannya terus relevan dan memberi manfaat kepada generasi kini dan akan datang,” titah baginda dalam Majlis Perasmian Masjid Tunku Ali Redhauddin, di sini semalam.

Tuanku Muhriz dan Tunku Ampuan Besar bersama tetamu yang hadir.

Baginda turut berkenan melafazkan titah perasmian Masjid Tunku Ali Redhauddin, menandatangani plak perasmian sebagai simbol penyempurnaan majlis dan menunaikan solat Jumaat bersama rakyat jelata.

Turut berkenan berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tunku Aishah Rohani serta anakanda baginda Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-‘Abidin.

Keberangkatan tiba baginda disambut barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan daerah, Dato-dato Adat serta penduduk setempat yang hadir memeriahkan majlis.

Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Dato’ Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Mohd Asri Abdullah.

-RI

Tinggalkan komen anda