
Laporan/foto: Florinah Lunsin (Kudat)
KUDAT, 25 Jan (MalaysiaAktif) – Program Mahkamah Bergerak anjuran Mahkamah Kota Kinabalu dengan kerjasama Pejabat Daerah Kudat diadakan pada Jumaat lepas bagi mendekatkan perkhidmatan kehakiman dan perundangan kepada masyarakat luar bandar di Kampung Tiga Papan, di sini.
Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Ben Chong Chen Bin berkata pelaksanaan program seumpama itu memastikan akses kepada perkhidmatan kehakiman dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi.

Suasana program yang dihadiri masyarakat setempat, menunjukkan keprihatinan penduduk terhadap perkhidmatan kehakiman dan perundangan.
“Program Mahkamah Bergerak ini merupakan inisiatif penting bagi memastikan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, tidak tercicir daripada mendapatkan perkhidmatan kehakiman dan perundangan yang sewajarnya.
“Ia juga membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan perkhidmatan penting dapat diakses secara inklusif dan menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat,” katanya ketika ditemui di Dewan Terbuka Kampung Tiga Papan, di sini kelmarin.
Ben yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Kapor berharap program tersebut dapat memberi impak berterusan kepada masyarakat setempat melalui peningkatan kesedaran berkaitan undang-undang.

Suasana program yang dihadiri masyarakat setempat, mencerminkan keprihatinan penduduk terhadap perkhidmatan kehakiman dan perundangan.
-RJ-





