
Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak/Norazuwan Mohd Yussof (Kinabatangan)
KINABATANGAN, 25 Jan (MalaysiaAktif) – Rakyat diseru menunaikan tanggungjawab demokrasi dengan keluar mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag bagi memilih wakil rakyat yang baharu.
Walaupun Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru sahaja berlangsung pada November lalu, pengundi di DUN Lamag tetap komited menunaikan hak mereka demi memastikan kesinambungan kepimpinan dan pembangunan di kawasan berkenaan.

Abdul Manan (dua dari kanan) dan Mohd Jaip (pertama kanan) hadir seawal jam 8 pagi di pusat tempat mengundi SK Bukit Garam untuk mengundi.
Pengundi, Abdul Manan Jumat, 64, berkata pilihan raya wajar diraikan sebagai satu proses penting dalam menentukan hala tuju pembangunan masyarakat setempat.
“PRK ini penting untuk kelangsungan politik serta hak dan tanggungjawab rakyat memilih wakil yang berkaliber.
“Tanpa pemimpin yang mampu membawa suara rakyat, isu di peringkat akar umbi sukar disampaikan ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Garam, di sini pada Sabtu.
Sementara itu, seorang lagi pengundi, Mohd Jaip Sahak, 68, berkata mana-mana individu yang dipilih sebagai wakil rakyat perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai teras kepimpinan.

Hassan menunjukkan jari kelingking kiri yang beliau celup tanda telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Wakil rakyat yang dipilih bertanggungjawab membawa suara rakyat, khususnya berkaitan isu asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air yang masih menjadi keperluan utama penduduk,” katanya.
Bagi Hassan Kadir, 57, setiap undi yang diberikan mempunyai nilai besar dalam menentukan masa depan sesebuah kawasan.
“Tanggungjawab untuk mengundi tetap penting walaupun kali kedua, kerana tujuannya masih sama iaitu memilih pemimpin yang mampu mewakili rakyat dan menyuarakan permasalahan terutama di kawasan luar bandar,” katanya.
-RJ-





