
Laporan/foto: Salleh Bin Immum (Sarawak)
MUKAH, 17 Jan (MalaysiaAktif) – Penderma darah adalah hero masyarakat kerana sumbangan mereka mampu menyelamatkan nyawa penerima, kata pengerusi Pertubuhan Pemeliharaan Hayat Mukah Tang Tiing Ping.
Beliau berkata setiap titisan darah yang didermakan memberi harapan kepada pesakit seperti mangsa kemalangan, kanser dan ibu bersalin.
“Menderma darah secara berkala akan membantu mengurangkan lebihan zat besi dalam badan sekaligus menurunkan risiko penyakit jantung,” katanya kepada Malaysia Aktif pada Kempen Derma Darah di Hospital Mukah, di sini hari ini.

Tang Tiing Ping (empat kanan), bergambar bersama sukarelawan pertubuhan selepas kempen derma darah di Unit Tabung Darah Hospital Mukah, menunjukkan kerjasama erat antara sukarelawan dan petugas kesihatan.
Program dengan kerjasama Unit Tabung Darah itu menyasarkan 100 penderma darah dengan 50 orang terawal menerima buah tangan istimewa.
Beliau dalam itu turut menekankan bahawa kempen berkenaan turut meningkatkan kesedaran kesihatan dan pemeriksaan percuma bagi penderma.
Sukarelawan pertubuhan, Kong Ka Hui, 50, berkata sebagai sukarelawan, wujud rasa empati dan kepuasan dalam dirinya kerana dapat membantu orang lain.
“Kempen sebegini memupuk sikap prihatin dan tanggungjawab sosial dalam masyarakat,” katanya.
Petugas Kesihatan Hospital Mukah, Celestine Lazarus, pula menyifatkan kerjasama baik sukarelawan menarik perhatian beliau untuk turut menderma darah.

Celestine (tengah) menerima cenderamata daripada Tang (dua kanan) sebagai penghargaan atas kerjasama dan penyertaan dalam kempen derma darah kali ini.
Sementara itu, seorang penderma, Tan Sang Siew, 51, telah menderma sebanyak 34 kali menyeru rakyat Malaysia untuk berbuat demikian kerana ia mampu mengurangkan kebergantungan kepada penderma kecemasan sahaja selain memastikan sistem kesihatan negara kekal stabil.
Kempen ini berjaya menunjukkan kepentingan derma darah dalam menyelamatkan nyawa, dan diharap lebih ramai rakyat Malaysia yang sihat tampil menderma demi kesejahteraan masyarakat.

Kong (kanan) dan Tan (kiri) tersenyum selepas selesai menderma darah, menekankan semangat sukarela dan sumbangan mereka dalam membantu pesakit yang memerlukan darah sepanjang masa.
Penulis turut menderma darah pada kempen kali ini, menjadikan sumbangan beliau sebanyak 43 kali. Setitis darah yang didermakan mampu menyelamatkan nyawa, dan semua individu sihat digalakkan menderma demi membantu mereka yang memerlukan.
-RJ-





