Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Pemandu Lori Dipenjara, Denda RM100,000 Kerana Pelupusan Haram Buangan Terjadual

By 30 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/JAS Johor

JOHOR BAHRU, 30 Jan (MalaysiaAktif) – Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan melibatkan aktiviti pelupusan haram buangan terjadual, dua tahun lalu.

Motolori Scania dan semi treler terlibat turut dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor Dr. Mohd Famey Yusoff berkata kes berkenaan melibatkan pelupusan haram buangan terjadual kod SW322 menggunakan motolori dan semi treler tanpa kelulusan Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

“Tertuduh, Ganesan Subramaniam, 51, didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 4 Nov 2023 di bawah jambatan Rizab Jalan Persekutuan, Jalan Kampung Maju Jaya, Mukim Tebrau.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan yang diperintah berjalan secara serentak bermula tarikh sabitan. Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 34B(1)(a), tertuduh turut dikenakan denda RM100,000 atau tambahan dua bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelupusan haram buangan terjadual SW322 dilakukan tertuduh menggunakan motolori dan semi treler di bawah jambatan Rizab Jalan Persekutuan, Jalan Kampung Maju Jaya, Mukim Tebrau pada 4 November 2023

Beliau berkata selain hukuman fizikal dan kewangan, mahkamah turut memerintahkan aset yang digunakan dalam jenayah tersebut, iaitu motolori Scania (MAB 5885) dan semi treler (T/JJ 2358), dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.

Beliau menegaskan JAS Johor tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pencemaran alam sekitar dan mengingatkan pihak industri serta orang awam agar sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

“Tindakan perundangan tegas akan terus diambil ke atas syarikat, pengarah syarikat, mahupun individu yang didapati melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda