
Laporan/foto: Hanizatul Azwa (Batang Padang)
BIDOR, 30 Jan (MalaysiaAktif) – Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menganjurkan Sambutan Januari Bulan Kesedaran Kanser Serviks Tahun 2026 di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini semalam.

Perkhidmatan klinik bergerak disediakan bagi kemudahan peserta menjalani ujian saringan HPV DNA kanser serviks
Program yang bermula dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari itu bertujuan meningkatkan kesedaran wanita mengenai kepentingan pengesanan awal kanser serviks melalui saringan kesihatan yang disediakan, dengan pengisian utama merangkumi saringan kanser payudara, ujian HPV DNA, pemeriksaan kesihatan serta pameran perkhidmatan LPPKN bersama agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Program turut memuatkan taklimat bertajuk Kanser Serviks: Pengesanan Awal Menyelamatkan Nyawa oleh Dr. Aidasuria Asari dari Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang serta Forum Kesihatan Serviks.
Pengerusi LPPKN, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, berkata kanser serviks merupakan satu-satunya kanser yang boleh dicegah dan dirawat sekiranya dikesan pada peringkat awal melalui saringan berkala.
“Anda sangat bertuah kerana dapat memanfaatkan program saringan awal melalui ujian HPV DNA yang diberikan secara percuma oleh LPPKN sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran kanser reproduktif wanita.

Maziana Sahak dari Bidor antara yang hadir bagi memberikan sokongan
“Kos ujian HPV DNA di hospital swasta boleh mencecah antara RM300 hingga RM500, namun kerajaan melalui LPPKN menyediakan kemudahan ini bagi membantu golongan wanita,” katanya ketika menyempurnakan majlis perasmian penutup program tersebut.
Jelas beliau, kanser serviks merupakan kanser ketiga paling kerap berlaku dalam kalangan wanita dengan jangkitan virus HPV sebagai punca utama jika tidak dirawat.
Beliau turut menyeru agar kaum wanita tidak bertangguh menjalani pemeriksaan demi kesejahteraan diri dan keluarga selain memaklumkan kaedah ujian HPV DNA kini lebih mesra pengguna.
“Kaedah saringan kini boleh dilakukan sendiri menggunakan kit khas sekali gus mengurangkan rasa takut dan segan dalam kalangan wanita untuk tampil menjalani ujian,” ujarnya.
Hadir sama dalam program tersebut adalah wakil agensi tempatan serta penduduk sekitar kawasan Bidor.
-AA-





