Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Polis Perkasa Peranan PPS Tangani Isu Disiplin Pelajar

By 13 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 13 Jan (MalaysiaAktif) – Polis akan terus memperkasa peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di setiap sekolah di Perlis bagi memantapkan lagi saluran komunikasi antara kedua-dua pihak dalam menangani isu disiplin dan salah laku pelajar.

Ketua Polis Perlis Dato’ Muhammad Abdul Halim turut menggesa agar laporan segera dibuat kepada PPS atau guru sekiranya wujud sebarang isu yang membimbangkan.

“PPS juga akan memberikan khidmat nasihat berkaitan undang-undang serta menjalankan rondaan dan pemantauan berkala demi keselamatan warga sekolah.

“Diharap dengan kerjasama semua pihak, kita bersama-sama (dapat) memerangi gejala buli, penyalahgunaan dadah dan tingkah laku negatif yang boleh menjejaskan masa depan pelajar serta reputasi sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program “First Day At School” Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ali Ahmad, Kangar, di sini semalam.

Program anjuran Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dengan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu bertujuan memupuk hubungan baik antara polis, sekolah, ibu bapa dan pelajar.

Pada masa sama, ia bermatlamat memberi suntikan semangat kepada pelajar untuk memulakan sesi akademik 2026 dalam suasana ceria dan selamat.

Majlis dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum) KPM Rusmini Ku Ahmad.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis Rose Aza Che Ariffin.

Sesi persekolahan baharu bagi tahun 2026 di Perlis mencatatkan 44,718 jumlah pelajar berdaftar di 104 buah sekolah rendah dan menengah.

-FN

Tinggalkan komen anda