
Laporan/foto: Aini/IPD Padang Besar
PADANG BESAR, 28 Jan (MalaysiaAktif) – Polis menahan dua warga tempatan termasuk seorang wanita yang dipercayai menyeludup 1 kilogram dadah jenis ganja di kawasan lampu isyarat Tapak Perindustrian Padang Besar, di sini Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Padang Besar Mohd Shokri Abdullah berkata operasi pada 7.20 malam itu hasil risikan pasukannya yang mengesan sebuah kenderaan jenis Honda City berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan di lokasi menghala ke Kangar.
“Polis telah mengekori kenderaan terbabit sebelum menahan mereka untuk pemeriksaan. Bagaimanapun, pemandu lelaki berusia 20 tahun itu enggan memberi kerjasama sebelum memecut. Kenderaan polis yang cuba menghalang kereta suspek telah dilanggar dan mengalami kerosakan.
“Pemeriksaan dijalankan setelah kereta suspek berhasil ditahan dalam sekatan jalan raya Sungai Chuchuh sebelum menemukan satu bungkusan plastik lut sinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja bernilai RM3,000 di bahagian kaki penumpang hadapan, dipercayai teman wanita suspek berusia 22 tahun,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati suspek menerima bekalan ganja berkenaan yang dianggarkan boleh digunakan oleh 1,000 penagih daripada seorang lelaki warga asing untuk dihantar ke lokasi yang ditetapkan dengan bayaran upah tertentu.
Kedua-dua suspek katanya direman tujuh hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek lelaki positif methaphetamine, dengan kedua-duanya pula mempunyai rekod lampau berkait dadah,” katanya.
-FN





