
Laporan/foto: Noorul Arizah Md Razani
REMBAU, 11 Jan (MalaysiaAktif) – Program Back To School Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota membantu meringankan beban ibu bapa dan penjaga dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.

Antara kanak-kanak yang menyertai program gunting rambut percuma.
Program bersama Jualan Agro MADANI Peringkat DUN Kota di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Kota, di sini kelmarin itu membantu komuniti setempat melalui pelaksanaan aktiviti berorientasikan khidmat masyarakat.
Menurut ADUN Kota Suhaimi Aini, penganjuran program berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya membantu rakyat, khususnya golongan ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak.
“Saya berharap inisiatif sebegini dapat meringankan beban kos sara hidup serta memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat,” katanya.
Perkhidmatan gunting rambut percuma juga ditawarkan kepada kanak-kanak serta pelajar sekolah rendah dan menengah di kawasan sekitar.

Perkhidmatan menukar minyak hitam percuma kepada 20 peserta terawal.
Inisiatif perkhidmatan menukar minyak hitam motosikal secara percuma kepada 20 peserta terawal juga turut diadakan.
Program Jualan Agro MADANI anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menyediakan pelbagai barangan keperluan harian dan hasil pertanian segar pada harga berpatutan kepada penduduk setempat.
Penganjuran program bersepadu yang mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran orang ramai sejak awal pagi, menjadi platform mengeratkan hubungan antara pemimpin, agensi kerajaan dengan komuniti setempat.
-RI





