Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Program Kesihatan Ramadan Santuni Komuniti Putrajaya

By 18 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhamad Hafizuddin Abdul Halim/Ahmad Idham Abd Hamid (Kuala Lumpur)

PUTRAJAYA, 18 Jan (MalaysiaAktif) – Program Penjagaan Kesihatan sempena Bulan Ramadan, berlangsung di Dewan Persada Sari, Kompleks Kejiranan Presint 11, di sini menjadi platform penting dalam memperkasa kesedaran kesihatan dalam kalangan komuniti setempat.

Ucapan perasmian oleh Dr. Rozita Abdul Rahman.

Program yang dirasmikan Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr. Rozita Abdul Rahman itu menekankan kepentingan penjagaan kesihatan menyeluruh sepanjang Ramadan khususnya dalam aspek pemakanan seimbang, pengurusan penyakit kronik dan kesejahteraan mental.

Menurutnya, program sedemikian mampu membantu masyarakat membuat persediaan fizikal dan mental bagi menjalani ibadah puasa dengan lebih sihat dan berkualiti.

“Kesedaran awal melalui ceramah dan saringan kesihatan dapat mengurangkan risiko komplikasi kesihatan terutama dalam kalangan pesakit dan golongan berisiko,” kata Rozita ketika berucap pada majlis perasmian semalam.

Pameran dan pemeriksaan kesihatan.

Antara pengisian utama program termasuk ceramah kesihatan, saringan kesihatan percuma serta pemberian wang asnaf kepada pesakit yang disampaikan oleh Kelab Pegawai Sosial Perubatan Hospital Putrajaya, Pejabat Kesihatan Putrajaya dan Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan pesakit yang memerlukan.

Program hasil kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk Ahli Lembaga Pelawat Hospital Putrajaya, Pejabat Kesihatan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Hospital Putrajaya, Ahli Lembaga Pelawat IKN serta Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya (MPPWP).

-RI

Tinggalkan komen anda