
Laporan/foto: Aini/JPN Perlis
KANGAR, 31 Jan (MalaysiaAktif) – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Perlis terus komited memastikan akses perkhidmatan pendaftaran yang inklusif melalui pelaksanaan Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di negeri Perlis yang merangkumi MEKAR Komuniti dan MEKAR IHSAN bagi memenuhi keperluan komuniti setempat.

Selain golongan OKU, warga emas juga turut disantuni.
MEKAR Komuniti dilaksanakan menerusi perkhidmatan Van MEKAR bergerak di lokasi program dan komuniti, manakala MEKAR IHSAN memberi tumpuan kepada perkhidmatan ke rumah khusus untuk golongan yang tidak dapat hadir ke kaunter JPN, termasuk warga emas, pesakit terlantar dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdepan kekangan pergerakan serta masalah kesihatan.
Pendekatan turun padang ini membuktikan komitmen JPN dalam memastikan setiap warganegara memperoleh perkhidmatan pendaftaran secara saksama dan menyeluruh demi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima perkhidmatan asas kerajaan,” kata Pengarah JPN Negeri Perlis Madihah Muhammad, semalam.

Program MEKAR adalah perkhidmatan turun ke lapangan mempermudah urusan masyarakat.
Sepanjang tahun 2025, Program MEKAR di Negeri Perlis telah memproses 686 permohonan, merangkumi gantian MyKad 129 permohonan, MyKad 12 Tahun lima permohonan, daftar kelahiran dan MyKid empat permohonan serta cabutan kelahiran sebanyak lapan permohonan selain 540 pengecaman identiti telah dilaksanakan.
Bagi Januari 2026, antara kawasan yang telah menerima perkhidmatan ini termasuk Kampung Darat Jalan Kaki Bukit Beseri, Kampung Padang Malau Jalan Kaki Bukit Beseri dan Jalan Dato’ Kayaman, Beseri.
-RI





