
Laporan/foto: Syafiq Jamloh/Surina Simat (Maran)
MARAN, 31 Jan (MalaysiaAktif) – Program Sentuhan Rakyat Makmur (PSRM) Daerah Maran yang berlangsung di Dewan Semai Bakti Felda Jengka 2, di sini kelmarin menerima maklum balas amat memberangsangkan daripada penduduk setempat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar pada acara pelepasan konvoi ziarah kasih PSRM.
Rata-rata penduduk menyifatkan program tersebut sebagai platform terbaik untuk merapatkan jurang antara rakyat dan pimpinan negeri, selain berharap ia dapat diteruskan secara berkala pada masa akan datang.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul Datuk Mukaram Shah Zainuddin, menyifatkan PSRM sebagai platform yang telus kerana setiap persoalan dijawab dengan baik manakala isu yang lebih besar diangkat ke peringkat pengurusan negeri untuk penyelesaian jangka panjang.
“Tahniah dan teruskan program ini. Terima kasih kepada Menteri Besar Pahang atas inisiatif yang amat dekat di hati rakyat,” katanya yang juga merupakan anak peneroka Felda Ulu Jempul.
Nada yang sama turut dikongsi oleh penduduk Felda Jengka 2, Mohd Nasharuddin Mat Isa, 49, yang bersetuju bahawa program tersebut memberi kesan positif kepada semua lapisan masyarakat kerana suara rakyat didengari secara langsung oleh pihak kerajaan.
Sementara itu, seorang lagi penduduk felda yang sama, Mohd Isha Ibrahim, 63, berpendapat manfaat program tersebut amat besar, terutama dalam menyelesaikan permasalahan pembangunan setempat melalui agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

Antara hadirin yang menyertai sesi dialog bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.
“Saya berharap program ini dapat diadakan dengan lebih kerap lagi mengikut keperluan dan kehendak masyarakat setempat,”ujarnya.
Program yang bermula dengan sesi tinjauan ke lebih 300 buah rumah di sekitar kawasan tersebut dan kampung berhampiran itu diketuai sendiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Nazri Abu Bakar bersama delegasi ketua jabatan peringkat negeri.
Sesi dialog awam yang diadakan turut menjadi tumpuan utama apabila penduduk berpeluang menyuarakan isu setempat secara terus kepada pimpinan tertinggi. Menariknya, banyak isu yang diutarakan mendapat maklum balas dan tindakan segera daripada ketua jabatan yang hadir.
Turut serta dalam sesi dialog tersebut, Pegawai Kewangan Negeri Pahang Datuk Fadzilla Salleh serta barisan ketua jabatan negeri Pahang.
-RI





