Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Selangor Terima RM450 Juta, Jayakan Inisiatif Bandar Pintar

By 21 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Herlina Ainizawati Zakaria/Hazlina Tajuddin (Shah Alam)

SHAH ALAM, 21 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM450 juta bagi pelaksanaan inisiatif Bandar Pintar Selangor, sekali gus memperkukuh ekosistem digital dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat negeri ini.

Fahmi ketika berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Pembangunan Bandar Pintar Negeri Selangor antara Kerajaan Negeri Selangor dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata peruntukan tersebut merangkumi pembangunan kesalinghubungan pintar, peningkatan keselamatan awam dan pengurusan trafik serta pelaksanaan pengurusan banjir pintar di bawah penyelarasan Pusat Operasi Bersepadu dan Pintar Selangor (SIIOC).

“Kerjasama ini selari dengan aspirasi Pelan Tindakan Pintar Selangor 2025 sebagai negeri peneraju bandar pintar dan ekonomi digital yang menekankan penggunaan teknologi bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam, kesejahteraan rakyat dan daya tahan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Pembangunan Bandar Pintar Negeri Selangor antara kerajaan negeri Selangor dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini, semalam.

Pada majlis itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyaksikan pertukaran MoU yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Hadir sama, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut Fahmi, bagi Kementerian Komunikasi dan MCMC, kerjasama itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh ekosistem digital negara secara inklusif dan bersepadu.

“Kerjasama strategik ini membuktikan bahawa pendekatan kolaboratif antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri adalah kunci kepada kejayaan agenda pendigitalan dan bandar pintar negara,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan sehingga 31 Dis tahun lepas, Selangor telah mencapai 96.9 peratus liputan 5G sekali gus meletakkan negeri berkenaan sebagai peneraju liputan 5G di Malaysia.

“Dengan populasi sekitar 7.4 juta, Selangor merupakan negeri yang mempunyai jumlah penduduk tertinggi di Malaysia, sekali gus mencerminkan jumlah penerima manfaat yang besar bagi sebarang inisiatif, pelaburan atau penyediaan perkhidmatan,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda