
Laporan/foto: Suzaima Ibrahim (Kuala Krai)
KUALA KRAI, 31 Jan (MalaysiaAktif) – Suasana di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Kuala Krai dilihat semakin meriah menjelang hari Khamis apabila jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan tren meningkat berbanding hari biasa.

Penumpang menaiki tren di Stesen KTMB Kuala Krai.
Inspektor Kualiti Perkhidmatan Tren Antarabandar Keretapi Tanah Melayu Berhad Mohd Hasmizi Rashid, berkata peningkatan ketara pada hari Khamis dan hujung minggu menyebabkan tren beroperasi dalam kapasiti penuh, khususnya melibatkan pelajar pulang ke kampung halaman.
“Penumpang pada hari Khamis terdiri daripada pelajar, pekerja serta orang awam yang pulang ke kampung atau berulang-alik atas urusan kerja, sekali gus menjadikan stesen berkenaan antara lokasi tumpuan menjelang penghujung minggu,” katanya ketika ditemui di stesen berkenaan, kelmarin.

Siti Hasmah ketika dalam perjalanan dari Kuala Krai menuju ke Pasir Mas.
Seorang penumpang, Siti Hasmah Che Omar, 30, berkata perkhidmatan tren menjadi pilihan utama kerana lebih selesa dan menjimatkan kos.
“Setiap hari saya menggunakan tren untuk berulang-alik ke tempat kerja kerana lebih mudah dan tidak perlu berdepan kesesakan jalan raya,” katanya.
Keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan peranan penting perkhidmatan rel sebagai nadi pengangkutan awam kepada masyarakat setempat, khususnya di daerah Kuala Krai.
Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, terutama pada hari Khamis, bagi memastikan perjalanan berjalan lancar dan selesa.
-RI





