
Laporan/foto: Nurul Ain Johari (Batu Pahat)/Facebook Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor
BATU PAHAT, 31 Jan (MalaysiaAktif) – Sebanyak 249 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan 29 unit Kos Kedai Sederhana yang dibangunkan oleh Genting Property Sdn. Bhd. dan KSL Development Sdn. Bhd. telah ditawarkan kepada pemohon yang berjaya menerusi proses undian.

Muhammad Zahid Sofian ketika memberikan taklimat.
Program ini melibatkan pemohon yang terpilih dalam Undian Terbuka yang telah dilaksanakan pada 6 Januari dan 20 Januari lalu.
Menurut Pegawai Khidmat Pelanggan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) Muhammad Zahid Sofian Mohd Muzfar, pemohon yang berjaya dan memenuhi syarat Bantuan Beli Rumah Pertama 2026 serta telah menandatangani perjanjian jual beli layak menerima bayaran sekali beri (one-off) sebanyak RM5,000.
“Pemohon yang telah melepasi syarat Bantuan Beli Rumah Pertama 2026 dan menandatangani perjanjian jual beli akan menerima bayaran secara one-off sebanyak RM5,000,” katanya, di sini semalam.
Beliau turut menjelaskan pemohon yang layak di bawah Bantuan Masuk Rumah Pertama dan telah menerima pemakluman daripada pemaju bahawa rumah telah siap serta boleh mengambil kunci akan menerima bayaran sekali beri sebanyak RM2,000.
“Pemohon yang telah dimaklumkan rumah siap dan boleh mengambil kunci akan menerima bantuan tambahan secara one-off sebanyak RM2,000,” ujarnya.
Majlis Penyerahan Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR) dan J-Home One Stop Centre (OSC) bagi projek Kos Kedai Sederhana (KKS) dan RMMJ Jenis B dan C di Taman Banang Jaya (Fasa 3) serta RMMJ Jenis D1 di Taman Pura Kencana (Fasa 1-A-1), Mukim Simpang Kanan, Batu Pahat telah diadakan sempena program tersebut.

Mohamad Haziq Al Amir Mohd (tengah), Mohd Ifsam Abd Karim (Kiri), George Tan (kanan) bersama penerima SLMR.
Sementara itu, seorang penerima RMMJ, Ahmad Nur Zahidi Mairop, 28, melahirkan rasa syukur kerana terpilih sebagai pemilik rumah pertama dan merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor atas inisiatif bantuan kewangan berjumlah RM7,000, merangkumi Bantuan Beli Rumah Pertama dan Bantuan Masuk Rumah Pertama.
“Bantuan ini amat bermakna dan memberi kelegaan besar kepada saya dalam persiapan awal memiliki kediaman sendiri. Inisiatif ini jelas mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri Johor dalam meringankan beban kewangan rakyat,” katanya.
Inisiatif ini selaras dengan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Johor dalam memperluas akses pemilikan rumah mampu milik, khususnya kepada golongan muda dan pembeli rumah pertama, sekali gus menyokong kesejahteraan rakyat serta pembangunan perumahan yang mampan di negeri ini.
-RI





