
Laporan/foto: Ameer Rithauddin Roslan (Hulu Selangor)
HULU SELANGOR, 13 Jan (MalaysiaAktif) – Masih terdapat individu tidak bertanggungjawab yang menceroboh masuk ke Kawasan Rekreasi Sungai Kedondong, Batang Kali di sini yang ditutup sepenuhnya sejak 17 Nov tahun lepas.

Amaran fenomena kepala air turut diletakkan sebagai langkah keselamatan dan berjaga-jaga
Pegawai Perhutanan Daerah Hulu Selangor Veronica Justin berkata tindakan itu akhirnya membawa padah apabila satu kejadian mati lemas dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan, Ahad lalu.
“Memasuki hutan simpan kekal tanpa kebenaran adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 47, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi Malaysia Aktif, hari ini.
Terdahulu, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah menutup kawasan berkenaan bagi sebarang aktiviti sehingga 31 Jan ini susulan risiko kepala air, banjir dan tanah runtuh sepanjang musim tengkujuh.
Ia juga bagi membolehkan kerja naik taraf kemudahan sedia ada di kawasan rekreasi berkenaan dilakukan.

Terdapat pengunjung yang masih berdegil untuk beriadah di Kawasan Rekreasi Sungai Kedondong, Batang Kali walaupun amaran telah dikeluarkan
Veronica berkata penutupan itu sejajar dengan arahan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memastikan keselamatan orang awam sentiasa diutamakan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut khususnya bagi aktiviti-aktiviti di kawasan hutan, air dan ekopelancongan.
Hasil tinjauan di Kawasan Rekreasi Sungai Kedondong semalam juga mendapati halangan laluan yang diletakkan sebelum ini telah dialihkan dan pita kuning amaran turut dipotong oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Lebih mendukacitakan, terdapat beberapa pengunjung yang baru tiba masih berdegil untuk beriadah di kawasan tersebut walaupun telah dimaklumkan berkenaan tindakan yang bakal dikenakan serta kejadian lemas yang baru berlaku.
Orang ramai diminta untuk memberikan kerjasama sebaiknya dalam mematuhi arahan penutupan Kawasan Rekreasi Sungai Kedondong, Batang Kali bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
-AA-





