Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Ziarah Kasih TYT Perkukuh Kebajikan Warga Emas Islam

By 27 Januari 2026Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Ridhuan (SPU)/Facebook TYT Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib

SEBERANG PERAI UTARA, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Program Ziarah Kasih yang disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib, di Pusat Jagaan Warga Emas Islam Darul Hanan memberi mesej jelas komitmen kerajaan negeri dalam memelihara kebajikan, kesejahteraan dan maruah warga emas Islam, khususnya golongan asnaf yang memerlukan perlindungan.

Pusat Jagaan Warga Emas Islam Darul Hanan yang diuruskan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) merupakan antara inisiatif strategik negeri dalam menyediakan sistem penjagaan warga emas yang menyeluruh, berlandaskan nilai kemanusiaan dan kasih sayang, sejajar dengan tuntutan Islam dan pembangunan sosial semasa.

Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib, meninjau sesi fisioterapi seorang penghuni Darul Hanan.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata Darul Hanan mula dibangunkan pada tahun 2005 dengan kos RM12 juta hasil pembiayaan Yayasan Al-Bukhari di atas tanah milik MAINPP, sebelum siap sepenuhnya pada tahun 2008 dan beroperasi secara rasmi pada 1 Feb 2010 dengan 32 penghuni awal.

Menurut beliau, MAINPP melalui Zakat MAINPP secara konsisten memperuntukkan kira-kira RM3 juta setahun bagi menampung keperluan operasi dan kebajikan penghuni khususnya warga emas Islam yang tidak mempunyai waris.

“Seiring pertambahan penghuni dan keperluan semasa, peruntukan tahunan bagi Darul Hanan MAINPP telah meningkat kepada RM5.11 juta pada tahun 2026 dengan jumlah penghuni seramai 114 orang. Ini mencerminkan kesungguhan MAINPP dan kerajaan negeri dalam menjamin kelestarian penjagaan warga emas Islam,” katanya ketika berucap, di sini semalam.

Mohamad menegaskan pengurusan Darul Hanan bukan sekadar menumpukan aspek keselamatan dan penjagaan fizikal, sebaliknya turut memberi penekanan terhadap pemeliharaan maruah, harga diri serta layanan berteraskan hormat dan kasih sayang kepada setiap penghuni.

Menurut Dr. Mohamad, Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang (APAI 2030) menyokong visi Penang 2030 yang menekankan pembangunan inklusif dengan kesejahteraan keluarga dan masyarakat sebagai teras utama.

Mengulas cabaran fenomena negara menua Mohamad berkata peningkatan nisbah warga emas di Pulau Pinang menuntut perancangan jangka panjang yang lebih tersusun dan bersepadu dengan pengalaman lebih sedekad mengurus Darul Hanan menjadi asas kukuh kepada pembangunan sistem penjagaan warga emas yang mampan di peringkat negeri.

Beliau turut menyifatkan pengumuman Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026 mengenai peruntukan RM35 juta melalui Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) bagi merintis Projek Rumah Warga Emas Mandiri di Pulau Pinang sebagai satu pengiktirafan terhadap kesiapsiagaan kerajaan negeri yang berpaksikan model sedia ada seperti Darul Hanan MAINPP.

-RI

Tinggalkan komen anda