
Laporan/foto: Mahyudin Abd Rani/Mohd Shahrizan Shahabudin (Seberang Perai Selatan)
SUNGAI ACHEH, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Penganjuran Penang 2030 Festival x Pesta WOW 2026 di Parit Kasa, Sungai Acheh bukan sahaja berjaya menghidupkan suasana komuniti setempat, malah menjadi medium berkesan memperkukuh hubungan rakyat bersama kepimpinan negeri selari dengan aspirasi pembangunan inklusif Penang 2030.

Chow membanting padi sebagai gimik pelancaran programs Penang 2030 Festival X Pesta Wow.
Festival yang dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow itu menghimpunkan ribuan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat, di sini kelmarin.
Menurut Chow, penganjuran festival seumpama itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan agenda Penang 2030 dapat dirasai secara langsung oleh rakyat di peringkat akar umbi, khususnya dalam aspek kesejahteraan sosial dan pengukuhan ekonomi komuniti.
“Festival ini bukan sahaja menjadi platform hiburan bersama komuniti setempat, malah mengeratkan hubungan masyarakat bersama pemimpin,” katanya.
Pengunjung disajikan dengan pelbagai pengisian menarik yang berteraskan nilai kemasyarakatan dan budaya tempatan antaranya kenduri rakyat, bacaan tahlil dan doa selamat, pertandingan mewarna dan pakaian beragam kanak-kanak bertemakan wau, pertandingan tulisan khat, pertandingan sepakan penalti dan tarik tali dalam bendang serta pertandingan wau.

Pengunjung pelbagai peringkat usia turun padang mempamerkan kreativiti masing-masing melalui acara bengkel dan pertandingan mencipta wau.
Seorang pengunjung, yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Ainsyah, 44, menyifatkan penganjuran festival berkenaan sebagai platform penting untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat sambil memberi ruang hiburan sihat kepada keluarga.
“Jarang ada program besar seperti ini di kawasan kami, suasana sangat meriah dan anak-anak pun seronok,” katanya.
Penang 2030 Festival x Pesta WOW 2026 dilihat sebagai inisiatif berimpak tinggi dalam memperkukuh jaringan komuniti serta mempromosikan Sungai Acheh sebagai lokasi strategik penganjuran aktiviti kemasyarakatan, seiring usaha membentuk Pulau Pinang sebagai negeri yang pintar, hijau, berdaya tahan dan inklusif.
-RI





