Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

116 Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Seluruh Negara Tawar Juadah RAHMAH

By 21 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Facebook KPDN Johor (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 21 Feb (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan pelaksanaan sebanyak 116 Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) di seluruh negara termasuk 9 lokasi di Johor yang mendapat kerjasama strategik daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Fuziah (kanan) mengadakan kunjungan ke Bazar Ramadan dan membuat gimik penyerahan replika Menu RAHMAH MADANI kepada pengusaha Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) di Perling Mall

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr. Fuziah Salleh, berkata peluasan lokasi ini bertujuan untuk memastikan akses Juadah RAHMAH dan pelaksanaan inisiatif di bawah Payung RAHMAH MADANI dapat dinikmati oleh rakyat di Johor.

“Antara beberapa lokasi BRR ini melibatkan Bazar Ramadan Taman Yayasan, Segamat, Taman Wawasan, Mersing, Jalan Mawar, Kota Tinggi, Pesta, Batu Pahat, Laman Simpang Renggam, Kluang, Perling Mall, Johor Bahru, Stadium Mini, Pontian, Dewan Jubli Intan, Muar dan Taman Dahlia, Johor Bahru.

“Sejak diperkenalkan pada tahun 27 Mac 2023 lalu, program ini kini memasuki tahun keempat pelaksanaannya dengan menawarkan pilihan Juadah RAHMAH pada harga RM5 dan ke bawah bagi memastikan golongan berpendapatan rendah berupaya menikmati juadah berbuka puasa yang seimbang pada harga yang berpatutan,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Bazar Ramadan Perling Mall di sini, semalam.

Fuziah turut mengagihkan apron kepada peniaga Bazar Ramadan Perling Mall

Sementara itu, Fuziah, berkata peniaga di semua lokasi BRR digalakkan memperbanyakkan penyediaan Juadah RAHMAH mengikut kategori makanan bagi memastikan pengunjung mempunyai akses kepada pilihan juadah dengan harga mampu beli.

“Selain itu, kerajaan juga turut menitikberatkan aspek pengurangan pembaziran makanan di bulan Ramadan dengan pelaksanaan inisiatif MySaveFood yang dijenamakan semula sebagai Ihsan Food Bank (i-FB) bagi menyelamatkan lebihan makanan di Bazar Ramadan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, pertubuhan sukarelawan dan komuniti setempat,” katanya.

Turut hadir, Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo dan Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Hasrin Kamal Hashim.

-AA-

Tinggalkan komen anda