Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Bazar Kemboja Pendang Jadi Tumpuan Persiapan Raya

By 21 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)

PENDANG, 21 Feb (MalaysiaAktif) – Memasuki minggu pertama Ramadan, Bazar Melayu @ Kemboja Pendang terus menjadi tumpuan penduduk setempat yang mengambil peluang membuat persiapan awal Hari Raya Aidilfitri, khususnya pada setiap Jumaat bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari di tapak bazar berhampiran Tasik Pendang.

Pengunjung mulai memenuhi Bazar Kemboja Pendang seawal jam 7 pagi

Bazar yang lebih dikenali sebagai Bazar Kemboja itu mula dipenuhi pengunjung seawal ia dibuka dengan suasana meriah di kalangan penduduk daerah Pendang yang tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan Aidilfitri lebih awal bagi mengelakkan kesibukan pada minggu-minggu akhir Ramadan.

Deretan gerai yang tersusun menawarkan pelbagai pilihan pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak pada harga berpatutan.

Antara barangan yang menjadi tumpuan ialah baju kurung pelbagai potongan dan fabrik, jubah moden, kemeja lelaki, pakaian kanak-kanak serta pelbagai jenis tudung dengan rekaan dan warna terkini yang menepati cita rasa semasa.

Seorang pengunjung, Zakiah Hussain, 63, berkata beliau bersama anaknya memilih untuk membeli-belah lebih awal bagi mengelakkan kesesakan pada penghujung Ramadan.

Pelbagai pilihan pakaian terdapat di Bazar Kemboja Pendang

“Saya datang awal supaya tidak perlu bersesak-sesak nanti. Di sini semua ada, mudah untuk kami buat pilihan tanpa perlu pergi ke banyak tempat,” katanya ketika ditemui.

Menurut beliau, kelebihan bazar yang menghimpunkan pelbagai jenis pakaian dalam satu lokasi bukan sahaja menjimatkan masa, malah memudahkan pelanggan membandingkan harga dan membuat pilihan terbaik mengikut bajet masing-masing.

Secara keseluruhannya, Bazar Kemboja bukan sahaja menjadi platform utama masyarakat setempat membuat persiapan Aidilfitri, malah berperanan sebagai pemangkin ekonomi kecil dan medan interaksi sosial komuniti setiap kali tibanya Ramadan.

-AA-

Tinggalkan komen anda