
Laporan/foto: Salina Sabi’is/Affifa Aroff (Perak Tengah)
PARIT, 5 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 174 mangsa banjir di Mukim Belanja dan Layang-Layang menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) bagi meringankan beban susulan bencana yang melanda November tahun lalu.
Sumbangan disampaikan dalam Program Penyampaian Bantuan Wang Ihsan Bencana di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muhammad Shah, di sini kelmarin.
Majlis penyampaian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Dato’ Khairudin Abu Hanipah.
Khairudin berkata objektif utama BWI adalah untuk membantu Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan bagi mendapatkan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan barangan rumah.
“Bantuan ini juga bertujuan menyokong proses pemulihan pasca-bencana buat penduduk yang terlibat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja.
Sementara itu, seorang penerima, Nur Hidayah Mohamad Shabidin, 42, menzahirkan rasa syukur dan menyifatkan bantuan tersebut amat bermakna buat keluarganya.
“Banyak peralatan rumah rosak dan musnah akibat banjir November lalu sehingga menjejaskan kehidupan seharian kami.
“Penyaluran BWI ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan mangsa bencana terus diberi perhatian,” katanya.
-FN





