
Laporan/foto: Siti Rahimah/Chong Fei Foo (Sarawak)
JULAU, 5 Feb (MalaysiaAktif) – Pembinaan Klinik Kesihatan baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan dijangka meningkatkan akses rawatan penduduk luar bandar apabila projek itu siap sepenuhnya pada 2028.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Dato Rolland Duat Jubin berkata kemudahan tersebut penting bagi mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap hospital di Sarikei dan Sibu.

Tapak pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 4 (KK4), Pejabat Kesihatan Daerah serta kuarters kakitangan di Julau yang kini dalam fasa awal pelaksanaan dan dijangka siap pada 2028.
“Pembinaan klinik ini mencerminkan komitmen kerajaan menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih baik, khususnya di kawasan pedalaman,” katanya ketika melawat tapak projek, di sini semalam.
Menurut Rolland, projek berkenaan merangkumi pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 4 (KK4), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) serta kuarters kakitangan bagi menyokong keperluan perkhidmatan kesihatan setempat.
Beliau berkata projek itu perlu disiapkan mengikut jadual bagi memastikan tahap perkhidmatan kesihatan penduduk daerah Julau dapat dipertingkatkan seperti dirancang.
Sementara itu, Jurutera Awam Projek Shahrul Nazrin berkata kemajuan fizikal semasa mencapai tiga peratus dan berada pada landasan jadual pelaksanaan yang ditetapkan.

Shahrul Nazrin memberi taklimat terperinci mengenai kemajuan semasa dan skop pembinaan Klinik Kesihatan Daerah Julau kepada delegasi semasa lawatan tapak projek di Julau.
Projek kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) itu mempunyai tempoh kontrak 156 minggu melibatkan kerja tanah, sistem mekanikal dan elektrikal, saliran serta infrastruktur berkaitan.
-RJ-





