Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Al-Sultan Abdullah Berkenan Sertai Gotong-Royong Perdana Sekitar Kampung Tekek

By 20 Februari 2026Februari 23rd, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syaiful SAS (Rompin)/Kesultanan Pahang

ROMPIN, 20 Feb (MalaysiaAktif) – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli berangkat meninjau dan menyertai Program Gotong-Royong Perdana yang diadakan di sekitar Kampung Tekek, Pulau Tioman, di sini kelmarin.

Sultan Pahang diberikan taklimat berkenaan keadaan sekitar Kg. Tekek selepas dilanda banjir akibar luruan Taufan Senyar baru-baru ini.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan disambut oleh Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Jumshoiry Novdany Mohd Sulaiman serta pemimpin setempat.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan ke beberapa lokasi utama gotong-royong selain meninjau persekitaran kampung khususnya dari aspek kebersihan dan pengurusan persekitaran dengan menunggang sendiri motosikal.

Antara lokasi yang dilawati termasuk perkarangan Pusat Taman Laut Tioman, Dewan Orang Ramai Kampung Tekek, sekitar kawasan kampung serta Tanah Perkuburan Kampung Tekek yang turut menjadi tumpuan aktiviti pembersihan.

Sultan Pahang beramah mesra dengan penduduk kampung yang sentiasa menanti kehadiran baginda di setiap lokasi.

Dalam pada itu, Baginda turut berkenan menanam pokok Mangga Dodol sebagai simbolik komitmen berterusan terhadap usaha penghijauan dan pemeliharaan alam sekitar khususnya di Kampung Tekek.

Penanaman pokok berkenaan melambangkan hasrat baginda agar Pulau Tioman bukan sahaja kekal bersih dan terpelihara malah terus dihijaukan demi kesejahteraan generasi akan datang, selaras titah Baginda yang menekankan kepentingan peranan masyarakat setempat terutama golongan muda dalam menjaga kebersihan dan mencantikkan kawasan kediaman masing-masing.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan khusus kepada seluruh warga tenaga Tioman atas komitmen dan usaha menjayakan program kebersihan tersebut sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dalam memelihara keindahan Pulau Tioman sebagai destinasi pelancongan dan penempatan yang lestari.

-RI

Tinggalkan komen anda