Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Sultan Pahang Berkenan Lancar Bot Wakaf Pahang

By 20 Februari 2026Februari 23rd, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syaiful SAS (Rompin)/Kesultanan Pahang

ROMPIN, 20 Feb (MalaysiaAktif) – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli menyempurnakan Majlis Pelancaran Bot Wakaf Pahang di Kompleks Marina Pulau Tioman, di sini kelmarin.

Keberangkatan Al- Sultan Abdullah diiringi Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Sultan Pahang menandatangani plak pelancaran sebagai simbolik perasmian.

Pada majlis tersebut, baginda berkenan menandatangani plak pelancaran sebagai simbolik perasmian serta mengurniakan Sijil Pelantikan Mutawalli Khas Wakaf Pahang kepada Pengurus Besar, Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Jumshoiry Novdany Mohd Sulaiman.

Sejurus selesai majlis pelancaran, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke Jeti Marina bagi melawat bot wakaf berkenaan yang bakal dimanfaatkan sebagai kemudahan kecemasan untuk penduduk dan pelancong di Pulau Tioman.

Bot tersebut akan digunakan bagi urusan kecemasan termasuk membawa jenazah ke tanah besar sekiranya berlaku kematian melibatkan penduduk atau pelancong, selain turut berfungsi dalam operasi mencari dan menyelamat sekiranya berlaku kemalangan atau insiden kecemasan di sekitar perairan Pulau Tioman.

Sultan Pahang berkenan melihat ruangan dalam Bot Wakaf Pahang.

Bot Wakaf Pahang diperoleh menerusi dana wakaf yang disumbangkan oleh pelbagai pihak melalui Wakaf Pahang di bawah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan kerjasama TDA.

Inisiatif berteraskan kebajikan ini bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat, malah berpotensi menyumbang kepada aspek keselamatan maritim dan kebajikan komuniti pulau secara lebih sistematik dan tersusun.

Kejayaan pelaksanaan projek ini turut mengangkat imej negeri Pahang sebagai negeri pertama di Malaysia yang memperkenalkan konsep Bot Wakaf bagi tujuan kebajikan masyarakat dan keselamatan maritim selaras dengan aspirasi memperkasa agenda wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah.

-RI

Tinggalkan komen anda