Skip to main content
Berita TempatanSabah

Banjir Tambunan Jejas Tiga Kampung, Tindakan Segera Diambil

By 25 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Jaimis Kunjan (Tambunan)

TAMBUNAN, 25 Feb (MalaysiaAktif) – Banjir yang melanda Tambunan pada Ahad lalu menjejaskan Kampung Piasau, Kampung Dabata serta Kampung Tikolod apabila berlaku kerosakan infrastruktur, harta benda dan gangguan bekalan air.

Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Bencana Daerah Tambunan Mohd Azri Jaini Jeffery berkata antara kerosakan dilaporkan termasuk hakisan tanah pertanian, pagar sawah dihanyutkan arus, sistem tali air hampir pecah serta paip graviti rosak.

Kawasan sawah padi yang terjejas akibat banjir.

“Di Kampung Piasau, arus deras menyebabkan hakisan tanah dan merosakkan peralatan pertanian serta tiga kenderaan, manakala di Kampung Dabata limpahan air memasuki rumah penduduk dan di Kampung Tikolod berlaku gangguan bekalan air bersih,” katanya ketika ditemui semasa lawatan ke kawasan terjejas, di sini semalam.

Beliau berkata tindakan segera dilaksanakan termasuk penyelenggaraan sungai, pembaikan pembentung dan penghantaran bekalan air bersih.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Jinus Tagua berkata laporan lengkap akan dikemukakan kepada pihak berkaitan bagi membolehkan bantuan serta peruntukan disalurkan segera.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Piasau, Silip Pawan, 76, berharap agar bantuan serta peruntukan yang diperlukan dapat disalurkan segera bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan dilaksanakan secepat mungkin.

“Kerosakan yang dialami akibat banjir tersebut memberi kesan besar kepada kehidupan harian penduduk, dan bantuan segera amat diperlukan supaya kehidupan dapat diteruskan seperti sediakala,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda