
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Norhafizah Abd Rahim (Terengganu)
MARANG, 25 Feb (MalaysiaAktif) – Pengumuman Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 bagi tahun ini nyata membawa khabar gembira kepada penjawat awam dan pesara khususnya dalam membuat persiapan awal menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Tinjauan Malaysia Aktif mendapati rata-rata penerima menyifatkan bantuan ini sebagai satu kelegaan kewangan dan suntikan semangat dalam mendepani kos sara hidup yang semakin mencabar, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan yang menuntut perbelanjaan tambahan.

Mat Arifin, menyifatkan bantuan itu sebagai suntikan semangat dan kelegaan kewangan dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin mencabar.
Penolong Pegawai Kanan di Pejabat Kebajikan Masyarakat, Mat Arifin Razak, 58, berkata bantuan tersebut amat dihargai dan membantu meringankan beban perbelanjaan persiapan Aidilfitri.
“Walaupun jumlahnya tidak terlalu besar, namun RM500 itu sangat bermakna bagi saya dan keluarga. Sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan membeli barangan dapur dan keperluan asas untuk Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau yang bakal menamatkan perkhidmatan beberapa tahun lagi berkata inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan kepimpinan Kerajaan MADANI terhadap kebajikan penjawat awam dan pesara yang wajar diteruskan pada masa hadapan.

Mohd Izani, berkata BKK berkenaan membantu beliau merancang perbelanjaan dengan lebih teratur.
Sementara itu, seorang lagi penjawat awam, Mohd Izani Md Isa, 51, berkata BKK tersebut membolehkannya merancang perbelanjaan keluarga dengan lebih teratur.
“Setiap kali musim perayaan, komitmen kewangan memang bertambah. Perbelanjaan berganda untuk menyediakan kelengkapan raya seperti pakaian, kuih-muih dan duit raya untuk anak-anak serta keluarga,” katanya.
BKK ini bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah turut meningkatkan motivasi penjawat awam untuk terus komited melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.
-RI





