
Laporan/foto: Rizalman Daim (Balingian)
BALINGIAN, 25 Feb (MalaysiaAktif) – Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Mukah menganjurkan Majlis Iftar bersama asnaf di daerah Kecil Balingian sempena Ramadan bagi mengeratkan hubungan serta memperkukuh usaha kebajikan.
Ketua Bahagian TBS Mukah Osman Immun berkata majlis berkenaan bertujuan meraikan penerima bantuan sara hidup bulanan Baitulmal di kawasan itu.

Osman Immun (dua dari kanan) bergambar bersama tetamu jemputan pada Majlis Iftar bersama asnaf di Balingian, semalam.
“Kumpulan asnaf ini merupakan penerima bantuan sara hidup bulanan Baitulmal dan mereka turut menerima bantuan fidyah serta bantuan Aidilfitri,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan di sini, semalam.
Beliau berkata bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban penerima sepanjang Ramadan dan sebagai persediaan menyambut Syawal.
“Program sebegini dapat merapatkan silaturahim antara TBS bersama asnaf dan kerjasama ini memudahkan usaha memartabatkan institusi Baitulmal khususnya dalam menyantuni golongan asnaf di Bahagian Mukah,” ujarnya.
Majlis berkenaan turut dihadiri kakitangan TBS Bahagian Mukah serta berlangsung dalam suasana sederhana.
-RJ-





