Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Bazar Ramadan Bau Perkukuh Silaturahim Masyarakat

By 20 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Loseyeffer Molly & Denis Etem (Bau)

BAU, 20 Feb (MalaysiaAktif) – Penganjuran Bazar Ramadan di Bandar Bau terus menjadi platform penting dalam mengeratkan silaturahim serta memperkukuh perpaduan masyarakat majmuk setempat.

Seramai 45 peniaga kecil mengambil bahagian pada tahun ini dengan menawarkan pelbagai juadah berbuka puasa, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi tempatan sepanjang bulan Ramadan.

Majlis perasmian telah disempurnakan semalam oleh Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep yang menzahirkan rasa syukur atas keutuhan perpaduan dalam kalangan penduduk Bau.

Henry menyampaikan ucapan sempena perasmian Bazar Ramadan Bau, menekankan kepentingan perpaduan dan keharmonian masyarakat setempat.

Menurut beliau, bazar Ramadan bukan sahaja menjadi lokasi mendapatkan juadah, malah berfungsi sebagai medan interaksi sosial yang positif serta ruang pertemuan masyarakat pelbagai kaum dan generasi.

“Sebagai anak jati Bau, saya amat menghargai nilai perpaduan di sini. Sikap toleransi masyarakat menyumbang kepada limpahan pembangunan di daerah ini,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Sementara itu, Temenggong Masyarakat Bidayuh Bahagian Kuching, Temenggong Atok Derop menyatakan sokongan berterusan terhadap penganjuran bazar tersebut kerana mampu menyatukan warga setempat dalam semangat muhibah dan saling menghormati.

Seorang peniaga kuih-muih, Puan Maznah Mohd Lobi, 49, berkata penyertaannya dalam bazar Ramadan tahun ini membantu meningkatkan pendapatan keluarga serta mengembangkan perniagaannya.

Maznah menjual pelbagai kuih-muih tradisional tempatan di Bazar Ramadan Bau.

Turut hadir, Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi; Ketua Polis Daerah Bau, P/Supt Mohd Haide A. Rahman; Ketua-ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta ketua-ketua jabatan.

Secara keseluruhannya, Bazar Ramadan Bau bukan sekadar pusat jual beli, malah menjadi medan pertemuan komuniti dalam menyemarakkan semangat perpaduan dan berkongsi rezeki sepanjang Ramadan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda