Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Tahun Baru Cina Disambut Dengan Semangat Perpaduan di Bintangor

By 20 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Hidayah Ismail/Nor Hidayah Ismail & Bahtiar Rambli (Meradong)

BINTANGOR, 20 Feb (MalaysiaAktif) – Sambutan Tahun Baru Cina 2026 di Bintangor yang dianjurkan bersama oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Meradong dan Sarawak United Peoples’ Party (SUPP) Cawangan Meradong berlangsung meriah dan penuh semangat perpaduan.

Majlis tersebut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing bersama isterinya, Datin Kueh Nai Fun, yang turut meraikan perayaan tradisi kaum Tionghua bersama masyarakat setempat.

Ding bersalaman dengan hadirin yang hadir sebaik sahaja sampai di Dewan Masyarakat.

Kapitan Ting Pang Keng yang mewakili masyarakat Bintangor dalam ucapannya, merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas usaha menganjurkan sambutan berkenaan yang menjadi platform penting untuk mengukuhkan perpaduan serta memupuk persefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum bersama pemimpin tempatan.

“Marilah kita teruskan kerjasama mencapai keharmonian, kesejahteraan dan pembangunan yang lebih besar pada Tahun Kuda. Kuda mencerminkan kekuatan dan kelajuan, maka kita juga perlu mempunyai semangat baharu untuk bergerak lebih maju,” katanya di sini semalam.

“Dengan semangat Tahun Kuda pada tahun ini, kerjasama erat semua pihak di Bintangor ini diharapkan dapat melonjak ke tahap yang lebih maju, aman damai dan sejahtera,” tambah beliau lagi.

Di majlis yang sama sebagai tanda keprihatinan, Ding turut mengagihkan angpau dan beg makanan kepada para pengunjung sebagai simbol berkongsi rezeki serta menghormati umat Islam yang menunaikan ibadah puasa.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian Tahun Baru Cina.

Kehadiran masyarakat yang amat menggalakkan ini jelas menterjemahkan keutuhan perpaduan, di samping menyerlahkan keakraban hubungan antara barisan pemimpin dan rakyat setempat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda