
Laporan/foto: Zulkifli Othman/Nik Awang Yaacob (Terengganu)
BESUT, 24 Februari (MalaysiaAktif) – Terletak di atas tapak bersejarah Istana Tengku Long di Kampung Raja, Desa Ukiran Kayu (DUK) berdiri megah sebagai simbol kelangsungan warisan dan seni pertukangan Melayu.
Kawasan ini turut mempamerkan keunikan seni bina rumah tradisional seperti Rumah Potong Belanda dan Rumah Limas Bungkus yang kaya nilai sejarah serta estetika dan dijadikan sebagai pusat latihan seni pertukangan.

Zulkarnain, berkata usaha memartabatkan seni ukir bukan sekadar untuk tujuan pameran tetapi bagi melahirkan generasi pelapis yang mahir
Penubuhan DUK bukan sekadar untuk mempamerkan hasil ukiran indah, sebaliknya berperanan sebagai pusat latihan dan kecemerlangan seni pertukangan kayu Melayu.
Di sinilah khazanah warisan lama dipelihara agar tidak ditelan zaman, sambil melahirkan generasi pelapis yang berkemahiran tinggi dalam seni ukir tradisional.
Menurut Penyelia DUK Zulkarnain Mohd Zain, usaha memartabatkan seni ukir ini memerlukan komitmen berterusan serta sokongan pelbagai pihak.
“Sejak awal penubuhannya, DUK telah melatih ratusan belia melalui program sijil intensif dengan sokongan daripada Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu. Matlamat kami bukan hanya melahirkan tukang ukir yang mahir, tetapi memastikan setiap hasil kerja sarat dengan falsafah dan identiti Melayu Terengganu,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini hari ini.

Wan Sibghatullah – Pengalaman menimba ilmu di DUK membuka matanya terhadap kehalusan seni warisan ini.
Bagi pelatih, Wan Sibghatullah Wan Sulaiman, 37, pengalaman menimba ilmu di DUK membuka matanya terhadap kehalusan seni kerja tangan warisan nenek moyang.
“Seni ukiran ini wajar dipelihara agar tidak pupus ditelan zaman. Kita perlu mewariskan kemahiran ini kepada generasi muda supaya khazanah warisan negara terus kekal,” katanya.
-RI





