Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Galeri KKD Pamer Seni Budaya Melanau di Dalat

By 27 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Kamarulzaman Ahmad/Mohammad Izwan (Dalat)

DALAT, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Dalat kini menjadi tumpuan seni tempatan dengan pembukaan Galeri Kompleks Kebajikan Dalat (KKD) yang mempamerkan karya artis tempatan dan bakat muda.

Keunikan terendak tradisional hasil kerja tangan Julan dari Kampung Tanam.

Galeri KKD mempamerkan kepelbagaian hasil seni penggiat tempatan termasuk kehalusan seni pembuatan terendak oleh Artis Julan dari Kampung Tanam, keunikan lukisan tangan oleh seniman Asri dari Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), keanggunan beg tenunan tangan karya ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), serta kreativiti bakat muda Zulaikha (PPDK) dalam seni jahitan dan hiasan rotan.

Koleksi terhad seperti Golden Terendak oleh Maestro Fidelis menonjolkan gabungan inspirasi timur dan barat yang memperlihatkan kepelbagaian seni dan kreativiti tempatan turut dipamerkan di galeri ini.

Baju jahitan kemas dan selesa hasil tangan Zulaikha dari PPDK.

Menurut petugas galeri, Nur Athirah Mohd Jaffar, 26,  galeri ini juga menempatkan satu koleksi baju tradisional Melanau milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Dato Sri Fatimah Abdullah yang direka khas oleh tukang jahit tempatan.

“Barangan lain daripada jenama tempatan ‘Serao Dalat’, termasuk baju dan selendang berkualiti tinggi, turut dipamerkan menonjolkan seni dan kraf tempatan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Galeri ini turut menonjolkan budaya dan simbol etnik Melanau selari usaha memelihara identiti warisan tempatan.

Galeri KKD bukan sahaja pusat pameran seni, tetapi juga ruang inspirasi bagi pengunjung tempatan bagi merangsang kreativiti dan mendorong perbincangan kritis tentang masa depan seni dan budaya Sarawak.

-RJ-

Tinggalkan komen anda