
Laporan/foto: Senie Haji Endin/Nayeruddin Borhan (Sarawak)
BETONG, 10 Feb (MalaysiaAktif) – Jawatankuasa Induk Regatta Betong 2026 diseru memberi komitmen sepenuhnya bagi memastikan penganjuran acara tahunan itu berjalan lancar pada 24 hingga 26 April ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Datuk Gerald Rentap Jabu berkata kerjasama padu semua pihak penting bagi memastikan Regatta Betong terus menjadi acara sukan air yang dinanti-nantikan masyarakat.
“Semua ahli jawatankuasa perlu memainkan peranan masing-masing agar penganjuran Regatta Betong 2026 lebih teratur dan memberi impak positif kepada daerah ini,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Regatta Betong di Pejabat Daerah Betong, di sini semalam.
Menurut Gerald Rentap, antara pengisian dicadangkan termasuk acara utama regatta, pameran pembangunan, pertandingan Battle of the Bands, pertandingan memasak, pertandingan mewarna serta jualan makanan dan minuman.
Ketua Kampung Baru Hilir Betong, Kamar Lugom, 67, berkata beliau bersyukur kerana Regatta Betong kembali diadakan selepas kali terakhir berlangsung pada 2010.
“Acara seumpama ini secara tidak langsung memberi peluang kepada golongan usahawan dan peniaga memasarkan produk jualan mereka,” katanya.
Ketua Kampung Masjid Betong, Abang Dahlan Abang Sulaiman, 65, turut menyifatkan penganjuran regatta mampu memeriahkan Betong serta memupuk perpaduan masyarakat pelbagai kaum.
Turut hadir Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh Betong, ketua jabatan serta ketua masyarakat setempat.
-RJ-





