
Laporan/foto: Aiman Alimin (Kelantan)
KOTA BHARU, 23 Mac (MalaysiaAktif) – Program Jelajah Ramadan anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneruskan siri keenamnya di Dataran Masjid Jamek Muhammadi, di sini kelmarin dengan pelbagai pengisian kerohanian dan kebajikan sempena Ramadan, sekali gus menjadi platform jabatan itu menyantuni masyarakat setempat.
Sebagai pengisian rohani, Forum Islam turut diadakan dengan menampilkan panel Musa Nuwayri dan Azil Yaacob, manakala Da’i Wafi mengemudi sesi forum bagi memperkukuh penghayatan Ramadan serta menyampaikan ilmu bermanfaat kepada para pengunjung.
Menurut Pengarah RTM Kelantan Ivan Toh Swee Ming program tersebut dilaksanakan secara santai bagi menarik minat kehadiran orang ramai bagi bersama-sama mengimarahkan program berkenaan.
“Program ini merupakan program yang besar dan selepas ini akan ada lagi beberapa program lain di peringkat negeri,” katanya kepada Malaysia Aktif.
Majlis berbuka puasa yang dianjurkan turut mendapat sambutan amat menggalakkan apabila kira-kira 2,000 pengunjung hadir memeriahkan suasana, sekali gus mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap program anjuran RTM yang turut meraikan 50 anak yatim dari Darul Aitam di bawah seliaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Penaja utama, BABAS turut menyediakan 500 pek makanan untuk diagihkan kepada orang ramai sebagai juadah berbuka puasa.
-FN





