
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/Facebook Mohd Fared Mohd Khalid
JOHOR BAHRU, 6 Feb (MalaysiaAktif) – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengumumkan penetapan tiga kadar zakat fitrah bagi tahun 1447H/2026M iaitu pada kadar RM8, RM10 dan RM20.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor berdasarkan harga pasaran beras mengikut gred dan jenis bagi timbangan satu gantang Baghdad (bersamaan 2.6 kilogram).
“Bayaran zakat fitrah dapat memanfaatkan golongan yang memerlukan melalui agihan zakat kepada Ketua Isi Rumah Fakir (RM500), Miskin (RM400), dan setiap tanggungan (RM50).
“Dengan kadar ini, kita berharap agar umat Islam di Johor dapat menunaikan kewajipan zakat mereka lebih awal dan zakat yang dikutip akan disalurkan untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya pada Majlis Pengumuman Zakat Fitrah Bagi Tahun 1447H/2026M, di sini semalam.
Mohd Fared berkata umat Islam di Johor, termasuk warga asing yang bermukim, disaran menunaikan kewajipan lebih awal menerusi 1,672 amil bertauliah, kaunter zakat MAINJ, atau secara dalam talian melalui platform Zakat Johor Online Payment dan aplikasi TULUS.
“Hasil kutipan tersebut akan disalurkan kepada golongan sasar, khususnya bagi persediaan Aidilfitri,” katanya.
MAINJ mensasarkan pungutan zakat fitrah tahun ini sebanyak RM27.32 juta, yang melibatkan lebih 2.29 juta umat Islam di seluruh Johor.
-AA-





