Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Kapit Lokasi Pertama Jelajah Integriti Sarawak 2026

By 16 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Daniel Jong/Budin Gumbang (Kapit)

KAPIT, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Program Jelajah Integriti Sarawak 2026 dilancarkan secara rasmi di Kapit, Sabtu lalu, menjadikan daerah luar bandar itu lokasi pertama siri jelajah tahun ini.

Datuk Dr Juanda Jaya menekankan kepentingan integriti dalam setiap tindakan dan keputusan pihak berkuasa serta masyarakat semasa perasmian Jelajah Integriti Sarawak 2026 di Kapit, kelmarin.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata program anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) bertujuan meninjau projek yang sedang dilaksanakan bagi memastikan integriti projek dipelihara serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

“Program ini selaras dengan hasrat Premier Sarawak untuk menjadikan negeri ini mencapai status Sarawak Berintegriti Tinggi 2030, sekali gus mendukung agenda Post Covid-19 Development Strategy (PCDS) 2030,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat menegaskan bahawa Jelajah Integriti bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya perlu meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat di bandar dan luar bandar.

Jefferson merasmikan Jelajah Integriti Sarawak 2026 di Kapit, kelmarin, lokasi pertama siri jelajah tahun ini.

“Saya berharap nilai integriti terus disemai, diperkukuh dan diamalkan secara konsisten oleh semua lapisan masyarakat sama ada pemimpin, penjawat awam mahupun rakyat di peringkat akar umbi,” katanya ketika merasmikan program itu di Rumah Bena Abon, Nanga Sema, Kapit.

Jamit menekankan bahawa integriti mesti menjadi amalan dalam setiap keputusan dan tindakan, bukan sekadar slogan semata-mata.

Program berkenaan turut menampilkan ceramah daripada UNIONS mengenai pengurusan aduan ombudsman perkhidmatan awam, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak tentang anti rasuah, manakala Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) memberi pendedahan mengenai kesedaran dan advokasi pendidikan seksual remaja sebagai usaha melindungi generasi muda.

Jahit Amin menyifatkan program berkenaan membuka mata masyarakat bahawa integriti bukan hanya untuk pemimpin, tetapi perlu diamalkan oleh semua lapisan masyarakat.

Penduduk tempatan, Jahit Amin, 66, berkata program ini membuka mata masyarakat bahawa integriti bukan hanya untuk pemimpin tetapi juga rakyat biasa.

Richard Reba, 62, menyifatkan jelajah berkenaan memberi keyakinan bahawa kerajaan serius membanteras rasuah dan menekankan tadbir urus telus.

Kehadiran kira-kira 300 penduduk setempat memeriahkan program dan rata-rata menyambut baik inisiatif ini, berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda